Saturday, 31 July 2010

ZAMAN PERSEKOLAHAN

Kali ini aku mahu mengimbau kembali kenangan di zaman persekolahan yang telah ditinggalkan selama lebih 40 tahun. Sejak kerap berulang-alik melaui Jitra, nostalgia ketika bersekolah menengah di kawasan tersebut kembali segar dalam ingatan. Terkenangkan guru-guru serta kawan-kawan yang sama bersekolah di situ lebih-lebih lagi yang sama-sama tinggal di asrama.

Aku mula bersekolah di situ pada tahun 1964 dan selepas Tingkatan 3 pada tahun 1966, berpindah ke Kuala Lumpur. Mula bersekolah dengan berulang alik sejauh 24km sehala dengan menunggang basikal tetapi tinggal di asrama semasa Tingkatan 2 hingga 3.

Inilah jalan menuju ke sekolah berkenaan. Sekarang sudah cantik dan lebar. Masa sekolah dahulu, hendak melintas seorang diri melalui kawasan ini, Tuhan saja yang tahu. Kata orang takutnya sampai 'tahi tinggal secamca'. Sunyi dan hutan kiri dan kanan jalan. Tambah lagi masa mula-mula sekolah berulang-alik dengan basikal sejauh 24km. Takut hantu tapi siapapun belum pernah melihatnya masa itu.



Pintu gerbang sekolah sudahpun kelihatan. Masa mula-mula masuk sekolah itu dahulu mana ada pintu gerbang. Yang adapun pintu pagar besi yang amat kukuh. Sampai sahaja waktu itu, terus masuk tapi kena juga melalui 'guard' yang amat digeruni. Cikgu Kassim, Cikgu Ali atau Cikgu Hamid Besi pasti ada menunggu setiap hari sabtu bila datang semula ke asrama setiap hujung minggu. Tiga orang ini yang paling ditakuti di sekolah.



Kelihatanlah tembok sekolah dari dekat. Terpampang 'Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim, Jitra, Kedah Darul Aman'. Nama sahaja Jitra tapi sebernarnya tempat ini dinamakan 'Jenan'. Sekarang sudah ada pondok pengawal dengan pengawalnya sekali. Tak ada lagi Cikgu Hamid Besi , Cikgu Ali astau Cikgu Kassim.

'Jenan' ini sudah banyak berubah. Berbagai lanskap keceriaan menghiasi halaman sekolah, menjadikan ia bertambah menarik dan memberi prasarana pembelajaran yang lebih baik berbanding dahulu. Dewan besar samar kelihatan di sebelah kiri dan dua bangunan lagi itu adalah bangunan makmal sains dan bilik darjah.




Ini pula lencana sekolah. Zaman aku bersekolah dahulu ia dibuat dari logam dan sentiasa dilekatkan di bahagian atas poket baju sepanjang masa di sekolah. Kalau nak 'kena' dengan tiga-tiga orang guru tadi, cubalah buang lencana itu semasa di sekolah. Sekarang lencana ini dibuat dengan kain dan dijahit terus di poket baju.



Bilik kelas aku dulu (tahun 1964) kat hujung itulah. Kelas pertama aku Tingkatan 1J. Ada lagi dua kelas selepas aku, 1L dan 1M tapi dua kelas ni khas untuk murid perempuan. Lelaki tak boleh masuk kelas-kelas itu. Banyak kenangan pahit dan manis di dalam kelas tersebut. Ada sekali Cikgu Amran yang mengajar Ilmu Alam tarik pelupuk mata kepada peta, suruh lihat betul-betul peta yang tergantung di papan hitam kerana aku tersilap menyebut nama tempat. Ada juga rasa berbangga sebab lukisan aku dilekatkan di papan kenyataan kelas walaupun dalam kategori 'lukisan paling buruk'.






Kat tingkat atas tu pula ialah bilik asrama tempat kami berkubang malam-malam dengan berbagai cerita. Tapi amat perlu berhati-hati sebab bilik Cikgu Ali ada di aras yang sama. Takut pada guru masa tu tidak dapat digambarkan. Berbeza dengan sekarang, guru pula yang takut kepada pelajar. Sudah terbalik.

Cerita tentang cikgu Kassim, garangnya melebihi harimau. Taspi masa tu tak ada waris yang datang menyerang sebab semua waris ketika itu mengharapkan pendidikan bukan pelajaran. Cikgu Hamid diberi gelaran 'besi' sebab dia adalah seorang ahli bina badan yang terkenal pada masa itu. Tengok ototnya sahaja sudah menggerunkan.




Ini masjid sekolah, terletak di hujung sekali tetapi berhampiran jalanraya. Surau/masjid ini mula dirasmikan pada tahun 1966 sewaktu dalam Tingkatan 3. Ada cerita tentang masjid ini yang sangat tidak dapat dilupakan. Pada malam pertama digunakan, kami duduk di saf paling depan dan malam itulah juga terlepas angin semasa solat. Habis tergelak kawan-kawan terdekat dan malam itu juga kenalah menghadap Cikgu Kassim.

Sebelum Masjid ini digunakan, kami terpaksa berjalan kaki sejauh 5km ke masjid Tanjung Pauh untk bersolah Jumaat.




Begitulah lebih kurang cerita zaman persekolahan di 'Jenan' atau sekarang SMSAH, Jitra. Ini berlaku pada tahun 1964 hinggalah aku tinggalkan sekolah tersebut pada tahaun 1966.

3 comments:

waliz said...

kenangan mengusik jiwa sungguh..:))

p3chandan said...

Hahaha..seronok dengar cerita lama2yg mencuit hati. Rase nye alam persekolahan dulu2 lagi seronok dari sekarang!

MADiSYAK said...

Jika dapat diundurkan masa, zaman persekolahan yang mahu diulangi. inilah zaman untuk membaiki diri.