Saturday, 31 July 2010

ZAMAN PERSEKOLAHAN

Kali ini aku mahu mengimbau kembali kenangan di zaman persekolahan yang telah ditinggalkan selama lebih 40 tahun. Sejak kerap berulang-alik melaui Jitra, nostalgia ketika bersekolah menengah di kawasan tersebut kembali segar dalam ingatan. Terkenangkan guru-guru serta kawan-kawan yang sama bersekolah di situ lebih-lebih lagi yang sama-sama tinggal di asrama.

Aku mula bersekolah di situ pada tahun 1964 dan selepas Tingkatan 3 pada tahun 1966, berpindah ke Kuala Lumpur. Mula bersekolah dengan berulang alik sejauh 24km sehala dengan menunggang basikal tetapi tinggal di asrama semasa Tingkatan 2 hingga 3.

Inilah jalan menuju ke sekolah berkenaan. Sekarang sudah cantik dan lebar. Masa sekolah dahulu, hendak melintas seorang diri melalui kawasan ini, Tuhan saja yang tahu. Kata orang takutnya sampai 'tahi tinggal secamca'. Sunyi dan hutan kiri dan kanan jalan. Tambah lagi masa mula-mula sekolah berulang-alik dengan basikal sejauh 24km. Takut hantu tapi siapapun belum pernah melihatnya masa itu.



Pintu gerbang sekolah sudahpun kelihatan. Masa mula-mula masuk sekolah itu dahulu mana ada pintu gerbang. Yang adapun pintu pagar besi yang amat kukuh. Sampai sahaja waktu itu, terus masuk tapi kena juga melalui 'guard' yang amat digeruni. Cikgu Kassim, Cikgu Ali atau Cikgu Hamid Besi pasti ada menunggu setiap hari sabtu bila datang semula ke asrama setiap hujung minggu. Tiga orang ini yang paling ditakuti di sekolah.



Kelihatanlah tembok sekolah dari dekat. Terpampang 'Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim, Jitra, Kedah Darul Aman'. Nama sahaja Jitra tapi sebernarnya tempat ini dinamakan 'Jenan'. Sekarang sudah ada pondok pengawal dengan pengawalnya sekali. Tak ada lagi Cikgu Hamid Besi , Cikgu Ali astau Cikgu Kassim.

'Jenan' ini sudah banyak berubah. Berbagai lanskap keceriaan menghiasi halaman sekolah, menjadikan ia bertambah menarik dan memberi prasarana pembelajaran yang lebih baik berbanding dahulu. Dewan besar samar kelihatan di sebelah kiri dan dua bangunan lagi itu adalah bangunan makmal sains dan bilik darjah.




Ini pula lencana sekolah. Zaman aku bersekolah dahulu ia dibuat dari logam dan sentiasa dilekatkan di bahagian atas poket baju sepanjang masa di sekolah. Kalau nak 'kena' dengan tiga-tiga orang guru tadi, cubalah buang lencana itu semasa di sekolah. Sekarang lencana ini dibuat dengan kain dan dijahit terus di poket baju.



Bilik kelas aku dulu (tahun 1964) kat hujung itulah. Kelas pertama aku Tingkatan 1J. Ada lagi dua kelas selepas aku, 1L dan 1M tapi dua kelas ni khas untuk murid perempuan. Lelaki tak boleh masuk kelas-kelas itu. Banyak kenangan pahit dan manis di dalam kelas tersebut. Ada sekali Cikgu Amran yang mengajar Ilmu Alam tarik pelupuk mata kepada peta, suruh lihat betul-betul peta yang tergantung di papan hitam kerana aku tersilap menyebut nama tempat. Ada juga rasa berbangga sebab lukisan aku dilekatkan di papan kenyataan kelas walaupun dalam kategori 'lukisan paling buruk'.






Kat tingkat atas tu pula ialah bilik asrama tempat kami berkubang malam-malam dengan berbagai cerita. Tapi amat perlu berhati-hati sebab bilik Cikgu Ali ada di aras yang sama. Takut pada guru masa tu tidak dapat digambarkan. Berbeza dengan sekarang, guru pula yang takut kepada pelajar. Sudah terbalik.

Cerita tentang cikgu Kassim, garangnya melebihi harimau. Taspi masa tu tak ada waris yang datang menyerang sebab semua waris ketika itu mengharapkan pendidikan bukan pelajaran. Cikgu Hamid diberi gelaran 'besi' sebab dia adalah seorang ahli bina badan yang terkenal pada masa itu. Tengok ototnya sahaja sudah menggerunkan.




Ini masjid sekolah, terletak di hujung sekali tetapi berhampiran jalanraya. Surau/masjid ini mula dirasmikan pada tahun 1966 sewaktu dalam Tingkatan 3. Ada cerita tentang masjid ini yang sangat tidak dapat dilupakan. Pada malam pertama digunakan, kami duduk di saf paling depan dan malam itulah juga terlepas angin semasa solat. Habis tergelak kawan-kawan terdekat dan malam itu juga kenalah menghadap Cikgu Kassim.

Sebelum Masjid ini digunakan, kami terpaksa berjalan kaki sejauh 5km ke masjid Tanjung Pauh untk bersolah Jumaat.




Begitulah lebih kurang cerita zaman persekolahan di 'Jenan' atau sekarang SMSAH, Jitra. Ini berlaku pada tahun 1964 hinggalah aku tinggalkan sekolah tersebut pada tahaun 1966.

Friday, 30 July 2010

DI HALAMAN RUMAH

Selalu bercerita tentang bunga, kali ini hendak menjenguk sekejap sekitar halaman rumah sebagai menghargai usaha famili menceriakan halaman yang sekangkang kera ini. Macam-macam yang hendak diceritakan sehingga tidak tahu hendak dimulai di mana.

Di sudut mana harus dimulakan?



Bayam di belakang rumah tumbuh subur dan sudah beberapa kali dipotong untuk makanan sekeluarga. Sayur manis bayam tentulah sedap dan enak. Bayam adalah sayur yang banyak zat dan vitamin.



Cekur untuk dibuat ulam juga begitu segar dan sedang elok dimakan. Tanam dalam baldi lama yang telah rosak sahaja. Tak ada pasu.



Buluh Madu di luar pagar hadapan rumah sudah boleh dinikmati hasilnya. Cukuplah untuk satu famili kami memakannya sekali sekala. Ia sedap dimasak bersama bayam sebagai sayur. Boleh juga dibuat ulam.




Pokok yang paling mudah ditanam, tidak payah tanah dan tidak perlukan pasu. Gantung sahaja tapi kenalah rajin siram. Kalau boleh dengan air basuhan beras semasa menanak nasi.



Bunga tongkeng rajin benar berbunga akhir-akhir ini. Tanam pun lebih kurang sahaja dan dibiar menjalar bersama sirih dan anggur di batang belimbing yang telah mati. Sesekali lihat, cantik juga bunganya.



Kelapa di hadapan rumah ini begitu lebat buahnya tapi tidak pernah berlama di pokok. Oleh sebab pokok kelapa ini rendah sahaja, selalu buah kelapa muda ini menjadi mangsa anak-anak dan jiran untuk meminum airnya. Benihnya diperolehi dari Tanjung Malim ketika isteri berada di sana.



Bunga kertas sering gugur di halaman. Kadang-kadang tidak sempat membersihkannya. Sebaik sahaja disapu, toleh belakang, ada lagi yang gugur.



Bunga insang keli ini jarang berbunga tapi apabila telah berbunga, lambat pula layunya.



Bunga dahlia ini baru saja berbunga kembali setelah merajuk sekian lama. Mungkin kurang bajanya. Nanti senang-senang, kita bajakan sedikit.



Alamanda ini amat rajin mengeluarkan bunga. Benihnya isteri perolehi dari temannya di tempat kerja. Ia ditanam hampir dengan pokok tongkeng dan kebanyakan batangnya telah dililit dengan tongkeng. Di situ jugalah terdapat pokok sirih dan sepit udang.



Air terjun mini ciptaan sendiri ini diletak di sudut berhampiran pintu masuk rumah. Isteri bersama anak-anak mencipta rekabentuk air terjun ini dengan menggunakan pengisar beras lama dan sebuah tempayan kecil. Lama-lama pandang, menarik juga.



Pokok susun kepala ini sudah lama tidak berbunga. Agaknya kurang penjagaan atau kurang baja. Kali ini baru hendak mula berbunga semula. Bunga ini harum juga.



Dahlia ini baru mengeluarkan bunga, belum kembang lagi buat masa ini. Bunga dahlia tahan untuk bebrapa hari apabila kembang.






Thursday, 29 July 2010

ANGGERIK YANG TERBIAR (10)

Ini memang anggerik terbiar. Ia tidak dijaga rapi dan hanya digantung di bawah pokok mempelam di tepi pagar. Tetapi bila melihat hasil bunganya, terasa sayang pula. Cantik juga walaupun tidak dipedulikan.

Namanya? Tidak tahu pula namanya.















BAKAWALI: UNTUK RAWATAN MATA

Keindahan Bakawali. Bakawali, sejenis bunga yang sukar berkembang dan apabila kembang, tidak pernah tahan lama. Ia dikatakan boleh digunakan untuk merawat mata.














Wednesday, 28 July 2010

BUNGA KENANGA

Kenangan adakah salah satu jenis bunga yang hampir pengalami kepupusan. Jarang terjumpa di tanam orang pada masa ini. Lama kelamaan pokok bunga ini akan hilang begitu sahaja jika tidak diambil langkah pembiakannya secara berperingkat.

Selain cantik, bunga kenanga sangat harum.






















INDAHNYA BUNGA RAYA

Kali ini kita nikmati beberapa spesis bunga raya, bunga kebangsaan kita.

Selain dari yang dipaparkan ini, terdapat banyak lagi jenis bunga raya yang lain. Malah dalam entri terdahulu telah disiarkan beberapa jenis yang lain yang dimaksudkan itu.